BELURAN, 13 Sept (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Simpang Cahaya Baru dekat sini Selasa.
Mohd Rauffel Yanshah, dipercayai terperangkap di dalam rumah tersebut ketika kejadian pukul 10.20 pagi itu.
Bernama difahamkan nenek mangsa yang berusia 53 tahun cuba menyelamatkan Mohd Rauffel, namun api yang marak dengan cepat menghalangnya berbuat demikian.
Bagaimanapun, wanita itu yang turut mengalami kecederaan dan melecur akibat kebakaran tersebut berjaya menyelamatkan dua lagi kanak-kanak dari rumah berkenaan.
Seorang daripada mereka dikenal pasti sebagai kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.
Penguasa Bomba dan Penyelamat Zon Sandakan Alias Abu berkata sebuah jentera bersama lapan anggota dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 20.23 pagi.
Bagaimanapun kedudukan yang jauh menyebabkan bomba hanya tiba kira-kira sejam kemudian dan mengambil masa 18 minit untuk memadamkan kebakaran.
Mayat kanak-kanak malang itu ditemui 1.18 petang dan dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat.
Punca kebakaran masih disiasat, katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment