Saturday, 21 July 2012

Macam Best

Macam Best


Masakan & Motivasi Program Terbaru Terbitan Fazley

Posted: 20 Jul 2012 11:23 PM PDT

Fazley turut merancang untuk menghasilkan buku masakannya sendiri.

PETALING JAYA: Penyanyi dan pakar motivasi, Datuk Fazley Yaacob sedang merancang dengan pihak Astro untuk menerbitkan sebuah program masakannya sendiri selepas menjuarai program MasterChef Selebiriti musim pertama baru-baru ini.

Fazley, 33, berkata, beliau mahu program masakan itu nanti digabungkan dengan bidang motivasi bagi membolehkan pengisian rancangan itu nanti menarik dan dapat memberikan kelainan kepada penonton.

“Saya tidak mahu ia menjadi sebuah program masakan semata-mata kerana yakin dengan memasukkan elemen motivasi ke dalamnya ia akan menjadi lebih menarik.

“Bagaimanapun ia masih di peringkat perbincangan dengan Astro dan harap-harap ia akan menjadi kenyataan,” ujarnya kepada mStar Online.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu "Asmara Ini" itu menerima wang tunai sebanyak RM57,000 selepas memenangi pertandingan berkenaan. Wang itu disumbangkan kepada Yayasan Jantung Malaysia.

Fazley bersama isterinya, Datin Azrene Soraya.

Dalam pada itu, Fazley berkata, dia juga merancang untuk menghasilkan sebuah buku resipi yang turut memuatkan tip motivasi bagi menjadikan naskhah itu lebih menarik.

Fazley mendedahkan, buku masakan itu turut memuatkan semua resipi yang dimasaknya sepanjang 13 minggu menyertai MasterChef Selebriti.

“Ia bukan sahaja mengandungi resipi tetapi turut menyelitkan tip dan motivasi untuk suami isteri yang berkait rapat dengan makanan dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, Fazley memberitahu dia akan muncul dalam dua program masakan terbitan Astro iaitu Chef Suprise dan Hello Bro yang akan ditayangkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Fazley juga berkata, bersempena Ramadan, beliau akan menjadi chef jemputan di Hotel Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya dan pengunjung berpeluang untuk menikmati menu yang dimasak semasa peringkat akhir MasterChef Selebriti di hotel berkenaan selama tiga bulan.

“Saya akan membuat penampilan khas di hotel berkenaan pada setiap Jumaat dan Sabtu sepanjang Ramadan untuk memasak sendiri selain beramah mesra dengan peminat,” katanya.

Salah faham orang berkenaan niat puasa

Posted: 20 Jul 2012 11:15 PM PDT

Apabila telah dipastikan tibanya Ramadhan maka menjadi kewajipan bagi seorang muslim berniat di waktu malam untuk berpuasa keesokan harinya. Waktu akhir untuk berniat adalah sebelum fajar. Nabi SAW bersabda,

مَنْلَمْيُبَيِّتِالصِّيَامَمِنَاللَّيْلِفَلاَصِيَامَلَهُ

Maksudnya: "Barangsiapa yang tidak menanamkan niat untuk berpuasa dari malam harinya, maka tiadalah puasa baginya." (riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa-i dan Ibnu Majah)

Tanam niat tidak memerlukan cangkul atau benih. Kadang-kadang kita melihat ada sesetengah orang sangat susah untuk menanam niatnya sehinggakan di antara cara untuk dia menanam niatnya adalah dengan bertafakur. Selepas selesai solat tarawih dia bertafakur seketika dikepalai oleh imam dan membaca bersama-sama "nawaitu shauma ghadin….."

Mereka menjadikan bacaan ini sebagai cangkul untuk menanam niat dalam hati mereka. Lihatlah bagaimana petunjuk Nabi SAW. Baginda menyebut tabyit (tanam niat) sahaja. Tanam niat tidak perlu untuk kita mengambil waktu tertentu atau bertafakur seketika. Bahkan tidak dinukilkan daripada perkataan Nabi SAW yang menunjukkan baginda duduk diam sejenak untuk membaca niat.

Tidak pernah ditemui hadis-hadis dan perkataan Nabi SAW yang seperti itu. Jadi apabila tiada perkataan-perkataan atau riwayat seperti ini maka kita perlu berusaha untuk kembali kepada asal, kembali kepada Al Quran dan hadis-hadis Nabi SAW dan meniru bagaimana baginda mengajar kita berniat.

Mudah, niat merupakan satu lintasan di dalam hati. Kalau seseorang itu sudah bangun untuk makan sahur, memasak dan menyediakan makanan untuk sahur, kemudian selesai makan dia terdengar laungan azan dan mengatakan dia terlupa untuk berniat. Logikkah begini? Perkara seperti ini tidak masuk akal, apa tujuan seseorang itu bangun sahur jika bukan untuk berpuasa keesokan harinya? Perbuatan bangun sahur itu sendiri sudah menunjukkan bahawa seseorang itu telah berniat. Telah wujud dalam hatinya keinginan untuk berpuasa keesokan harinya dan disebabkan niat itulah dia bangun untuk bersahur.

Contoh lain, seseorang yang tidak bersolat tarawih menonton televisyen pada waktu malam drama Nur Ramadhan, kemudian beliau teringat beliau di bulan ramadhan dan dalam hatinya terlintas "esok nak puasa". Kemudian dia tidur sehingga orang azan subuh. Apabila sedar orang telah azan dia menyangka dia tidak sempat berniat.

Sebenarnya ketika dia menonton TV pada malam harinya dan telah terlintas dalam hatinya untuk berpuasa esok hari, dia telah pun menanam niat di dalam hati. Lintasan dalam hati tidak perlu dibina padanya struktur ayat-ayat tertentu dan tidak perlu juga dilafazkan. Jadi tidak perlu bimbang dengan apa-apa lafaz, sama ada lafaz niat itu betul atau tidak, tatabahasa ayat itu betul atau tidak dan sebagainya. Memadai dengan sekadar satu lintasan atau keinginan dalam hati.

Apabila kita menerima jemputan dan kita bersetuju untuk hadir bererti kita sebenarnya telah berniat untuk hadir. Seperti yang Nabi sebutkan, jika seseorang itu sudah ada kehendak yang tinggi, itu dikira sudah berniat. Sebab itu orang-orang yang sudah berkehendak melakukan sesuatu tetapi tidak mampu untuk melakukan amal kebaikan tersebut kerana halangan-halangan tertentu dan bukan kerana disengajakan, maka dia akan mendapat pahala sama seperti jika dia melakukannya, dengan syarat dia telah berusaha. Ini yang dimaksudkan dengan menanam niat.

Berkaitan dengan menanam niat pada bulan puasa, terdapat beberapa isu yang dibahaskan. Pertama adalah apa yang disebutkan tadi tentang lafaz niat. Kesimpulan daripadanya adalah, daripada Nabi SAW tidak ada perbuatan yang disebut sebagai lafaz niat.

Niat berpuasa sebulan

Kedua, dibahaskan juga tentang niat berpuasa sebulan pada malam pertama Ramadhan. Sesungguhnya amalan niat untuk berpuasa sebulan tidak pernah dinukil daripada Nabi SAW. Ada orang mengatakan apa salahnya jika ingin berniat sebulan. Sedangkan kita perlu kembali kepada hadis Nabi SAW,

مَنْلَمْيُبَيِّتِالصِّيَامَمِنَاللَّيْلِفَلاَصِيَامَلَهُ

Maksudnya: "Barangsiapa yang tidak menanamkan niatnya untuk berpuasa dari malam harinya, maka tiadalah puasa baginya."

Nabi SAW telah menetapkan niat perlu dilakukan pada malam hari sebelum berpuasa pada siang keesokan harinya. Tidak ada apa yang susah untuk berniat pada setiap malam. Bagi pelajar, setiap malam mereka melihat jadual kerana berniat untuk ke sekolah keesokan harinya. Bagi yang bekerja setiap malam mereka berniat untuk ke tempat kerja keesokan harinya. Tidak perlu mereka menyusun ayat dan melafazkan niat tersebut.

Kalau urusan jadual dunia mampu dirancang setiap hari, ini ibadah yang perlu kita utamakan dan lebih perlu untuk kita mencontohi Nabi SAW. Nabi menyebut niat perlu ditanam pada malam hari maka ia perlu dibuat pada malam harinya. Itu adalah keutamaan yang perlu kita berikan. Dari sudut kekuatan penghujahan, dalil dan sandaran kepada Nabi SAW maka hadis tentang berniat pada malam hari adalah yang lebih tepat.

Niat puasa sunat

Perlu kita ketahui bahawasanya berniat pada bulan Ramadhan Al Mubarak untuk berpuasa wajib adalah tidak sama dengan syarat berniat untuk puasa sunat. Adapun puasa sunat boleh dilakukan seperti Nabi SAW, yang mana apabila bangun pagi dan mendapati tiada makanan, dan apabila sampai sebelum tengahari didapati tiada juga makanan maka boleh berniat untuk berpuasa pada hari itu. Hal ini dilakukan oleh Nabi SAW sendiri.

Tetapi bagi puasa wajib yakni puasa Ramadhan khususnya tidak boleh dilakukan seperti itu kerana pada bulan Ramadhan kita memang diwajibkan berpuasa tidak kira sama ada terdapat makanan pada hari itu ataupun tidak.

sumber:http://ustazfathulbari.wordpress.com/2012/07/19/ramadan-niat-puasa/

No comments:

Post a Comment